Pendidikan Teras Pembangunan Masyarakat Felda Lubuk Merbau

      Terdapat beberapa buah sekolah di FELDA Lubok Merbau yang merangkumi pendidikan daripada peringkat TADIKA hingga peringkat Menengah Tinggi. Sekolah di sini sentiasa mementingkan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek termasuk pengurusan sekolah dan meliputi bidang kokurikulum, pentadbiran, keceriaan dan kerohanian.

       Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau dibina pada tahun 1968. Banyak kemudahan asas yang terdapat di sekolah ini, antaranya seperti pusat sumber, bilik guru, bilik komputer, padang, kantin, surau dan sebagainya. Menurut Guru Besar sekolah ini, Hajah Hamidah Yusof, terdapat seramai 635 orang murid menuntut di sekolah ini pada sesi 2015.

      Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau (SMKLM) pula dibina pada tahun 1971. Pengetua pertamanya adalah Abdul Rahman Idris, di mana pada ketika itu SMKLM menumpang sementara di Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau sehinggalah bangunan baru siap dibina pada tahun 1974. SMKLM juga lengkap dengan segala kemudahan asas sebagai sebuah sekolah kerajaan. Selain itu, pihak sekolah turut menyediakan kemudahan asrama bagi membantu pelajar meningkatkan taraf pendidikan mereka dengan lebih tekun serta dapat memudahkan mereka pergi ke sekolah kerana asrama hanya terletak bersebelahan dengan sekolah.

      SMKLM juga turut memanfaatkan penggunaan komputer untuk membangun dan memantapkan pengurusan, pengajaran dan pembelajaran. Sekolah ini juga turut menempatkan sebuah bilik komputer bagi kemudahan pelajar menggunakan kaedah pembelajaran menggunakan komputer.

 a

Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau
Lubuk Merbau,
06710 Pendang,
Kedah Darul Aman.

 b

Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau
Lubuk Merbau,
06710 Pendang,
Kedah Darul Aman.

       Di Felda Lubuk Merbau terdapat 2 buah sekolah kerajaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau dan Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau. Hal ini adalah sebagai kemudahan kepada penduduk di kawasan ini menerima pembelajaran yang lebih berkesan yang sama taraf dengan penduduk bandar. Untuk Sekolah Kebangsaan Lubok Merbau, ia terletak bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Merbau yang berhampiran dengan jalan utama Felda Lubok Merbau yang memberi kemudahan kepada pelajar untuk pergi dan pulang ke sekolah. Di sekolah kebangsaan terdapat pelajar darjah 1 hingga darjah 6, manakala sekolah menengah terdapat pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6.

 

 gambar13

 

 Tabika Felda Lubok Merbau ditubuhkan adalah untuk memberikan pembelajaran awal kepada kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan. Di tabika ini mengambil kanak-kanak yang berumur dalam linkungan 5 dan 6 tahun untuk menerimapembelajaran awal dari Tabika ini.