Felda Lubok Merbau

 

          Ramai sejarahwan yang menganggap bahawa Kedah sebagai negeri yang tertua di Tanah Melayu. Pendapat ini diasaskan kepada penemuan arkeologi yang terdapat di kawasan-kawasan terbabit di Kedah yang membuktikan adanya penempatan-penempatan secara teratur semenjak kurun ke-4 lagi. Daripada penemuan-penemuan arkeologi, pernah dijumpai bukti yang menunjukkan bahawa kawasan utara semenanjung telah didiami manusia purba sejak zaman 'Pleistocene' lagi. Antara alat-alat yang dijumpai termasuklah bahan bercucuk tanam. Daripada kajian yang dibuat, didapati bahawa penduduk- penduduk di kawasan tersebut pada ketika itu terdiri daripada golongan orang-orang Melayu-Proto (Proto-Malaya). Mereka hidup dengan menjalankan kerja- kerja bertani di kawasan pedalaman rendah terutamanya di kawasan tepi sungai. Penduduk-penduduk awal itu mula menunjukkan kemajuan apabila mereka menggunakan alat-alat yang dibuat daripada logam.

 

ASAL-USUL NAMA KEDAH

          Bagi Sejarah Kedah, terdapat dua lagi bahan rujukan yang terkenal iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang ditulis selepas tahun 1643 dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dalam tahun 1927. Maklumat mengenai sejarah awal Kedah boleh diperolehi daripada unsur-unsur Arab, Parsi, Sanskrit dan Cina.

 

LATAR BELAKANG DAERAH PADANG TERAP, KEDAH

          Majlis Daerah Padang Terap ditubuhkan pada tahun 1976, ianya adalah susulan daripada penyusunan semula Kerajaan Tempatan, Lembaga Bandaran Padang Terap. Kawasan Majlis Daerah Padang Terap merupakan daerah yang ketiga terbesar di Negeri Kedah Darul Aman, yang meliputi kawasan seluas 135,684.41 hektar bersamaan 330,799 ekar atau 1,356.84 km persegi. Lokasinya terletak bersempadan dengan negara Thailand di utara, di sebelah barat bersempadan dengan Daerah Sik dan Pendang. Mengikut bancian penduduk pada tahun 2000, Daerah Padang Terap memiliki penduduk seramai 55,899 orang dengan 13,617 tempat kediaman.

 

SALASILAH @ SEJARAH ASAL FELDA LUBOK MERBAU

          Nama asal Lubuk Merbau diambil sempena dengan nama Sungai Muda dan dua batang pokok merbau yang tumbang melintangi sungai di tepi lubuk. Mengikut sejarah FELDA Lubuk Merbau, dahulunya kawasan ini merupakan kawasan hutan tebal yang menjadi tempat persembunyian komunis. Pada masa itu, pihak kerajaan sedang berusaha untuk menghapus saki-baki pengganas komunis yang masih ada di kawasan ini. Justeru, pada tahun 1956, kerajaan telah menubuhkan satu agensi yang dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP).  Pada 1964, di bawah LKTP yang kini dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah berjaya meneroka dan membangunkan kawasan tersebut dengan peserta-peserta yang terpilih dikenali sebagai Peneroka. Pada 1968 iaitu peringkat satu, seramai 178 peneroka telah ditempatkan di kawasan tersebut. Kini, terdapat 769 peneroka terdiri daripada peringkat satu hingga sembilan di FELDA Lubuk Merbau yang telah membangun dengan pesat dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

 

(Sumber : Penduduk Tempatan Felda Lubok Merbau dan daripada Laman Web Kerajaan Negeri Kedah)